PETALING JAY: Dalam setahun, sungai-sungai di Selangor dan Kuala Lumpur dicemari kira-kira 60 tan sampah-sarap, mengakibatkan kawasan perangkap sampah kelihatan seolah-olah permukaan tanah.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pemulihan Sungai Way "Sungai Amanah Alam" di sini hari ini, Ong berkata keadaan itu tidak akan berlaku sekiranya masyarakat mengamalkan tabiat membuang sampah yang baik.
"Negara kita masih memerlukan perangkap sampah untuk menahan sampah sarap namun kita berharap dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi jumlah sampah yang terperangkap dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM150 juta diperlukan JPS untuk membersihkan sungai di seluruh negara daripada pencemaran sampah.
"Setakat ini kita (JPS) masih belum dapat peruntukan ini lagi, ia sedang dikaji dan dipertimbangkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan GAB Tan Sri Saw Huat Lye berkata, masyarakat perlu menyokong usaha JPS untuk memastikan sungai tidak dicemari sampah.
Katanya, walaupun secara teknikalnya, JPS boleh memasang perangkap sampah di sungai-sungai dan mengutip puluhan tan sampah sebulan, langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah kerana orang ramai akan tetap membuang sampah di sungai.
Beliau berkata, orang ramai perlu dididik untuk menghargai sungai sebagai aset alam sekitar negara. GAB ialah penaja utama dan penaung Projek Pemulihan Sungai Way "Sungai Amanah Alam".-Bernama 2010/07/18
No comments:
Post a Comment