Wednesday, March 9, 2011

80 peratus kemalangan industri babitkan IKS

80 peratus kemalangan industri babitkan IKS

2010/12/16
PUTRAJAYA: Kira-kira 80 peratus daripada kemalangan industri yang dicatatkan di negara ini membabitkan sektor industri kecil dan sederhana (IKS), kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Dr Johari Basri.

Bagi mengurangkan jumlah itu, beliau berkata kerajaan menyediakan pakej inisiatif baru bagi IKS iaitu "SME Compliance Support" bagi membantu IKS meningkatkan daya saing mereka melalui penerapan dan peningkatan tahap pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"IKS ini kebanyakannya kurang tenaga dan kurang sumber, kalau kita pergi ke tempat mereka dan dapati tidak memenuhi syarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan kita saman atau ambil tindakan undang-undang, tutuplah syarikat mereka.
"Melalui inisiatif ini, kita akan bantu mereka untuk mengenal pasti langkah keselamatan yang boleh diambil dan tidak mahal bagi memastikan mereka boleh meningkatkan tahap keselamatan pekerja tanpa menjejaskan kedudukan kewangan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Johari berkata, inisiatif itu dilakukan melalui beberapa aktiviti iaitu Pintu-ke-Pintu, Perkhidmatan Promosi Bergerak IKS melalui enam unit van yang disediakan, dan "Umbrella Project", yang lebih tertumpu kepada penerangan dan khidmat nasihat melalui persatuan majikan.

Sehingga September lalu, sebanyak 42,657 kes kemalangan industri dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang membabitkan 876 kes kematian dan 11,366 kes hilang upaya kekal dengan 13,186 kes atau 30.9 peratus dicatatkan dalam industri pembuatan.

Johari berkata, 30 peratus daripada jumlah kemalangan itu berlaku ketika dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, terutama ketika pulang dari tempat kerja, dan kebanyakannya membabitkan mereka yang menaiki motosikal.
Smbil menyatakan trend itu semakin membimbangkan, beliau berkata kerjasama dengan agensi kerajaan termasuk PERKESO dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diadakan.

"Ia bagi menjalankan kempen kesedaran dan latihan cara pemanduan berhemah bagi pekerja industri, selain memberi penerangan tentang aspek keselamatan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment