Wednesday, March 9, 2011

Kadar kemalangan di tempat kerja menurun

Kadar kemalangan di tempat kerja menurun

RAMAI orang tidak menyedari peri pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sehingga kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku. Terdapat juga pihak yang tidak mahu melabur atau berbelanja untuk keselamatan dan kesihatan di tempat kerja disebabkan oleh faktor kos.

Kejadian kemalangan atau penyakit dihadapi pekerja mencerminkan serba sedikit terdapat ketidaksempurnaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan ia perlu diperbaiki.

Tanggungjawab keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau OSH ini dipikul bersama oleh mereka yang mewujudkan sesuatu risiko (iaitu majikan) dan juga mereka yang perlu bekerja dengan risiko tersebut (iaitu pekerja).

Industri dan majikan harus menyedari tentang empat faktor utama dalam usaha untuk menguruskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja iaitu tanggungjawab korporat; memenuhi kehendak sosial dan moral; prinsip dagangan yang baik dan keperluan perundangan.

Pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang cekap bukan sahaja mengurangkan risiko kepada keselamatan dan kesihatan tetapi juga memastikan pulangan yang tinggi kepada syarikat dan meningkatkan produktiviti.

Latihan dan pendidikan juga adalah elemen utama dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Majikan harus bersedia untuk melabur dalam keselamatan pekerjaan manakala pekerja harus bersedia untuk mengamalkannya.

Syarikat perlu menyediakan bajet tahunan untuk latihan keselamatan bagi membendung kemalangan berkaitan pekerjaan. Jelas bahawa aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi adalah mereka yang bekerja di dalamnya dan mereka yang menjayakannya.

Di Malaysia, kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah meningkat dari tahun ke tahun. Ramai majikan dan pekerja mengetahui peranan dan tanggungjawab dalam memastikan hazad di tempat kerja telah dikenal pasti, ditaksir dan dikawal.

Negara kita telah memperkenalkan pelbagai akta dan peraturan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan dalam melindungi kebajikan tenaga kerja kita. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) telah diperkenalkan pada 1994 dan tertakluk kepada falsafah peraturan kendiri. Ini meletakkan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terhadap majikan mereka.

Semenjak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diperkenalkan, bilangan kemalangan di tempat kerja telah menunjukkan penurunan yang signifikan. Merujuk kepada statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Sumber Manusia, bilangan kemalangan industri yang dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja untuk semua sektor telah berkurang daripada 99,413 pada 1995 kepada 35,092 pada 2008. Ini merupakan penurunan sebanyak 65 peratus dalam jangka masa melebihi 10 tahun.

Walaupun terdapat penurunan dalam purata bilangan kemalangan industri dari 17 dalam 1,000 orang pekerja pada tahun 1995 kepada 6.1 pada tahun 2008, kita harus berusaha untuk mencontohi negara membangun yang hanya mempunyai 3-4 kemalangan dalam 1,000 orang pekerja.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

No comments:

Post a Comment